Our Adrenaline..

Thursday 9 October 2014

Lakaran Bahagia Bab 5 - SILENCER



“WARDINA Aisyah Binti Khalid,” sayup-sayup suara itu kedengaran. Wardina bangun. Terpisat-pisat matanya cuba memandang ke depan. Siapa yang memanggilnya tadi? Bila mata itu dibuka, terjengul wajah suaminya, Ruzain. Mata itu ditenyeh Wardina sekali lagi. Abang?

            “Abang?” Ruzain angguk. Wardina pandang suaminya. Kenapa suaminya sangat pelik? Kenapa dengan pakaian itu? Kenapa atas bawah semuanya putih? Seingatnya, suaminya tidak berpakaian serba putih pada petang itu. Tapi, itu tidak kisahlah. Janji, suaminya sudah berada di sini. Bibirnya mengoyak senyuman panjang.

“Abang! Ina nak mintak maaf, abang. Ina bersalah pada abang. Ina mintak ampun, abang,” tubuh Ruzain ingin dipeluk namun Wardina terkejut. Tubuh itu terasa jauh benar darinya.

“Abang.. Kenapa abang jauh?” Wardina tergamam pula. Air mata jernih suaminya menamatkan kata-katanya. Kenapa suaminya menangis?

“Sayang.. Sayang kuat, ya? Ingat pesanan abang. Sayang kena kuat.” Wardina tidak mengerti.

“Abang. Kenapa ni? Kenapa abang cakap macam ni?” Wardina mendekati suaminya. Namun, masih terasa jauh. Jarak itu jauh dan semakin jauh darinya. Wardina penat berlari. Sedar-sedar kini, dia sudah berada di persisiran pantai.

“Ingat kata abang.. Jaga cinta kita molek (baik-baik). Jadi, seorang puang (perempuan) yang muliakan agamanya, jadi seorang puang yang hormatkan maruahnya, dan jadi seorang puang yang kuat dalam harungi segala-galanya. Abang tak selamanya di sisi, sayang. Sayang mesti tabah dan jadikan Tuhan itu sebagai sandaran.” Wardina geleng kepala.

“Abang.. Kenapa ni? Abang!! Abang nak ke mana? Abang!!” tubuh Ruzain makin jauh.

“Selamat tinggal, sayang. Abang sayangkan sayang. Abang cintakan sayang. Sampai akhir.” Wardina cemas. Suaminya semakin jauh.

“Abang! Jangan buat Ina macam ni, abang! Abang! Abang! Abang, jangan tinggalkan Ina!!!!” tempikan itu menamatkan lena Wardina. Tubuhnya berdiri tegak. Dada turun naik. Nafas pula sungguh tidak teratur. Berdegup kencang tanpa henti. Wajahnya diraup lembut, cuba menghilangkan jejak mimpi tadi. Dan, bila wajah itu digosok, dia terpempam dengan jernihan air mata yang membasahi pipi. Keluhan terbit di situ.

“Mimpi apa tadi?” Wardina diam. Sedarnya, ada air menitis di atas kepalanya. Lantas, kepala didongakkan sama. Air apa ni? Hujan? Pantas, dia buang pandang ke luar. Lebatnya! Wardina telan liur. Kakinya menggeletar tanpa jawapan. Mindanya teringatkan Ruzain tiba-tiba. Kepalanya toleh ke kanan. Membulat matanya setelah mendapati jam sudah menginjak ke arah jam 8 pagi.

Jam sudah pukul lapan namun suasana di luar sana tidak seperti jam lapan. Gelapnya yang amat. Wardina bangun. Dia nak keluar! Dia mahu mencari Ruzain. Hatinya semakin tidak tenang. Bergegas dia capai apa yang patut, bersiap ala kadar. Kakinya, tangannya dan bibirnya menggeletar dengan sendiri membuatkan Wardina semakin diburu ketakutan. Jantungnya juga berdetak lebih laju dari biasa. Kenapa begini? Wardina takut. Oleh itu, segera dia menapak keluar bersama sekaki payung di tangan.

Tokk!! Tok!!

Wardina kerut dahi. Siapa pula tu? Tanpa berlengah Wardina patuh akan bunyi ketukan itu. Pintu dibuka. Wajah Mawar serta Pak Lang membuahkan rasa curiga pada pandangan Wardina.

“Pak Lang buat apa kat sini? Abang tak ada..” Pak Lang pandang Wardina atas bawah. Seketika keluhan terbit dari bibir tua itu.

“Kamu nak ke mana, Ina?” soal Pak Lang terus. Wardina senyum dalam terpaksa. Bibirnya kuat diketap untuk mengelakkan orang nampak akan getaran di bibirnya itu.

“Saya? Macam biasalah, Pak Lang. Nak jemput abang dari laut,” Mawar pandang Wardina. Wardina buat bodoh sahaja dengan pandangan itu. Tahu, pasti Mawar sedang mengutuk dirinya. Tapi, dia perlu menjawab begitu bagi menutup rahsia keadaan rumah tangga mereka.

“Ina.. Apa yang Pak Lang cakapkan ni, kamu terima dengan baik, ya.” Wardina angkat keningnya.

“Apa dia, Pak Lang..”

“Ruzain.. Dia..” Wardina masih menanti. Debaran sudah menggila. Apa yang mahu dituturkan Pak Lang? Ruzain? Kenapa dengan abang?


HARI demi hari berlalu, dan sehingga kini wajah Wardina murung. Wajah pucat, dan tidak berdaya. Tubuhnya menyandar lesu di atas pangkin menghadap pantai. Pandangan orang sekeliling terhadapnya tidak dipedulikan. Kini, sudah heboh satu kampung tentang kehilangan suaminya. Usah ditanya pada dirinya, kerana dia juga tidak punya idea di mana suaminya berada. Namun, orang di sini semuanya, tidak faham akan keadaannya.

            Masing-masing menunding jari padanya. Nampaknya telahannya salah. Sangkanya, selama ini, pertengkaran antara dia dan Ruzain tidak didengari orang ramai. Namun, segalanya terbukti semalam. Semua orang menuduhnya sebagai seorang isteri kejam.

            “Memang patut pung(pun) mung (kau) terima azab ning (ni).. Padan muka dengan mung. Kalu Ruzain mati, munglah pembunuhnya!”

Wardina tunduk. Tajam sungguh kata-kata itu. Sungguh, tajam sehingga hatinya terasa bagaikan disiat-siat. Entah untuk kali ke berapanya, air matanya tumpah. Baru kini, dia tahu betapa sukarnya untuk menahan air mata. Sesuatu kekuatan yang tidak mampu dia dapat.

Perlahan-lahan, kepalanya naik menghadap laut. Pabila kepala itu mendongak, bagaikan terhidang satu wajah yang cukup dirinduinya di depan mata. Abang.. Wajah Ruzain yang suci dan wajah yang cukup dinanti-nantikannya selama dua hari ini.

“Ina..” Wardina terkejut. Itu suaminya?! Benarkah? Tidak berkelip Wardina pandang tubuh itu. Benarkah, itu suaminya? Kalau ya, kenapa sejak tadi dia tidak perasan? Wardina makin ceria apabila tubuh itu melambai-lambai agar datang kepadanya.

“Abang?” Tubuh itu mengangguk kecil. Wardina teruja. Abang? Ya! Itu abang! Suami aku!

“Abang!! Abang!!” Wardina berlari ke arah laut di mana Ruzain berada. Sedarnya, suaminya sudah bergerak sedikit demi sedikit ke arah laut. Wardina menggeleng.

“Abang! Jangan tinggalkan Ina! Tunggu, Ina. Ina, tak nak kena tinggal lagi! Abang!” Wardina akhirnya turut masuk ke dalam laut sama, mengejar Ruzain. Malangnya, tubuh itu hilang begitu sahaja. Wardina terkejut. Dia tak mampu berenang. Terasa tangannya sukar untuk menggapai sesuatu untuk berpaut. Dia kelemasan kini!

“Ya Allah! Ina! Ina!!” teriak Pak Lang dari jauh. Dia berlari mendapatkan Wardina.

“Mawar!! Tolong ayah ni!!” Mawar turut sama berlari ke arah Wardina. Pak Lang tanpa berlengah sudah terjun. Mudah sahaja tangan itu mencapai Wardina. Ditarik tubuh itu ke darat.

Pak Lang duduk lemah di atas pasir. Letih. Naik turun dadanya. Penat! Dia perlukan oksigen. Wardina pula bangun terus sambil terbatuk-batuk. Tubuhnya terasa lemah. Di kala itu, terasa ada tangan yang menggosok belakangnya. Wardina memejam mata. Pedih!

“Abang..” air mata itu menitis lagi. Mawar mengigit bibir. Dia hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Matanya bertentang mata dengan si ayah. Perlahan-lahan, tubuh Wardina ditarik lalu dibaringkan ke ribanya.

“Kenapa, Ina masuk ke laut tu? Bahaya!” tegur Pak Lang. Tegas bunyinya. Tubuh Wardina yang berbaring di atas ribaan Mawar dipandang sayu.

“Ina, nampak abang, Pak Lang. Ina nampak abang Ruzain.” Pak Lang menggeleng lemah dengan penjelasan itu.

“Kamu jangan buat macam ni, Ina. Kita masih cari dia. Jangan jadi macam ni. Kita masih tak tahu, bagaimana keadaan dia. Teruskan berdoa. Jangan jadi manusia yang lemah. Kuat, Ina! Kamu, kena kuat!” Wardina menangis lagi. Wajahnya terasa panas akibat titisan air mata itu.

“Sudah! Bawak dia balik, Mawar.” Mawar angguk. Tangan Wardina diletakkan di atas bahunya sebelum mereka memulakan langkah. Pak Lang menggeleng. Kesian melihat nasib gadis itu. Dia faham keadaan orang yang kehilangan ini bagaimana. Kerana dia juga pernah merasai kehilangan. Kehilangan seorang isteri yang cukup memeritkan jiwa lelakinya. Namun, semua itu rasanya masih tidak dapat menyamai dengan apa yang terjadi pada Wardina. Seorang gadis yang tidak punya apa-apa. Hanya menjadikan Ruzain sebagai tempat bergantung. Masih terbayang lagi kali pertama pertemuaannya dengan Ruzain. Lelaki itu nampak sungguh gembira meskipun mereka hanya berdua.

“Dia hanya ada saya, Pak Lang. Satu-satunya tempat untuk dia bergantung.. iaitu saya.. dan.. saya jugak hanya ada dia Pak Lang. Satu-satunya, tempat untuk saya bermanja.” Pak Lang buang pandang. Rasa sebak yang bertandang dibuang jauh-jauh. Ke mana kamu menghilang Ruzain? Kesiankanlah isterimu ini..


“BARING sini.” Arah Mawar. Kepala Wardina diletakkan hati-hati di atas bantal. Telepak tangannya dilabuhkan di atas dahi Wardina. Panas! Lantas, kain basah dilap pada tubuh Wardina.

“Mawar..” seru Wardina lemah. Mawar pandang Wardina.

“Kau tak rasa sedih ke?” Mawar diam. Kain basah itu diletakkan di dalam basin kembali.

“Abang Ruzain…”

“Ina..” Mawar mencelah tiba-tiba. Tidak mahu nama Ruzain bangkit. Dia sendiri tidak boleh mendengar nama itu. Kelak wajah lelaki itu akan terbias di mata. Dia tak sanggup! Dia tak sanggup untuk bayangkannya lagi. Sekarang inipun, dia sudah melalui jalan yang susah. Sukar untuk dia terima kehilangan sahabat baiknya itu.

“Kau tidurlah. Nampak macam nak demam. Aku nak balik, nak cari ubat.” Wardina diam. Dari hujung matanya dia hanya memandang pemergian Mawar dari kamarnya.

“Ina!! Ina!! Ina!!” sayup-sayup kedengaran panggilan itu.

“Kamu ni kenapa, Mail?” tegur Mawar. Wardina pejam mata. Kalau boleh dia tak mahu campur lagi. Pasti, ada orang ingin mengutuknya lagi. Dan bila mata itu ingin dipejam, dia terasa seperti terdengar sesuatu.

“Ruzain! Ruzain! Kami dah jumpa!” tercungap-cungap suara itu. Wardina yang mendengar sahaja nama suaminya, terus bangkit laju dari tilam. Matanya membulat. Bergegas dia turun ke bawah.

“Mana? Mana, abang Ruzain?” tidak terbayang rasa bahagia di hatinya. Dia berlari keluar tanpa pamitan.

“Ina! Tunggu!” halang Mawar. Terkejut dia apabila Wardina berlari begitu sahaja melepasi dirinya. Lantas, kaki itu turut dihayunkan sama. Mengejar Wardina. Wardina sudah tercungap-cungap berlari. Angin khabar yang disampaikan begitu mengejutkannya. Abang! Tunggu, Ina!

Kaki itu dikuatkan kayuhannya. Namun.. bila setibanya dirinya di sana. Apa yang terbayang di mata tidak sama di alam nyata. Kerumunan orang ramai membuatkan Wardina nanar. Apa ni? Dari jauh, dia melihat kelibat Pak Lang yang sepertinya sedang menenangkan orang ramai. Ada apa ni? Mana suaminya?

Wardina cuba mendekat. Satu persatu langkah dia hadapkan ke arah kerumunan orang ramai itu. Pak Lang yang melihat kelibat Wardina mula mengarahkan orang ramai membuka ruang untuknya. Dan bila ruangan itu terbuka buatnya, terasa lututnya bagaikan bergegar. Menggeletar tanpa henti.

Bibir Wardina terketar-ketar menahan getaran. Begitu juga dengan tangannya. Dan kerana itu, dia tidak kuat lagi untuk berdiri. Tubuhnya jatuh terjelopok. Air mata merembes keluar. Tubuh yang berbaring tidak jauh darinya itu, membuatkan dia tertanya-tanya. Kepala diangkat pada Pak Lang. Pak Lang diam sahaja. Kenapa diam?

Wardina mendekat. Makin laju air mata itu. Abang.. dari atas ke bawah mata itu meneliti suaminya. Tubuh suaminya basah kuyup. Namun, itu bukan persoalannya. Tubuh itu senyap sahaja berbaring di atas pasir ini. Tangan Wardina naik mengusap kepala Ruzain.

“Abang..” panggil Wardina lemah.

“Abang dengar Ina, tak?” suara itu terketar-ketar bertanya. Kepala Wardina menggeleng.

“Tak! Kenapa abang tak jawab?! Abang! Bangunlah! Abang! Pandang Ina!” Pak Lang menggeleng sahaja. Mawar pula kuat mengetap bibirnya.

“Apa ni? Bukaklah mata, abang. Abang.. Tolonglah! Jangan takutkan, Ina. Abang.” Tangan Ruzain ditarik dan diletakkan di pipinya.

“Abang! Jangan tinggalkan Ina. Abang! Tolonglah. Bukak mata, abang. Ina ada dekat abang ni. Abang, Ina mintak maaf. Ina salah. Sekarang, bukak mata abang. Tolonglah, abang. Ina, rayu..” Mawar tunduk lalu belakang tubuh Wardina dipeluknya.

“Abang.. Tolonglah, Ina.” Tangan Wardina ditarik Mawar agar tidak berterus-terusan menyakiti tubuh Ruzain.

“Sabar, Ina. Sabar..” Wardina menangis dan menangis. Hanya dengan menangis sahaja yang dapat memuaskan hatinya. Menangis di atas segala perbuatannya. Suatu penyesalan yang tidak mampu diungkapkannya.


WARDINA menyandar lemah pada dinding hospital. Kelibat orang ramai begitu membingitkan suasana. Namun, suasana itu ternyata tidak mencacatkan khayalan Wardina. Sedari tadi, kepalanya asyik memutarkan kembali kisah-kisah romantis antaranya dan Ruzain. Ah!

            Wardina pejam mata. Dia tak kuat lagi. Mawar ketap bibir. Wardina buang pandangannya. Kalau boleh dia tidak mahu menangis lagi. Saat kepala itu dilarikan, ada sepasang pasangan yang begitu menarik perhatiannya. Si isteri begitu tekun melayani si suaminya. Penuh kasih sayang, bubur itu disuap ke dalam mulut si suami. Lelaki itu senyum sahaja tatkala menerima suapan itu. Bahagianya. Wardina senyum kecil. Melihat pasangan itu, membuatkan dia teringat akan suaminya.

            Abang.. Apa kita masih punya kesempatan untuk itu? Ina harap.. Ya.

Kuakan pintu dari luar menamatkan lamunan Wardina. Segera dia mengalihkan pandangannya pada seorang lelaki berkot putih itu. Lelaki itu sedang berjalan menuju ke arahnya.

“Puan ni, isteri Muhammad Ruzain Bin Talha?” Wardina angguk laju. Hatinya berdoa, agar si suami selamat-selamat sahaja.

“Ya saya , doktor. Saya isteri Muhammad Ruzain. Macam mana keadaan suami saya?” Wardina kalut bertanya. Hatinya tidak tenang. Mawar disebelahnya juga turut memasang telinga.

Doktor lelaki itu mengeluh seketika. Wardina resah sendiri. Kurang gemar dengan keluhan itu kerana bunyinya seakan-akan teruk. Apa, terukkah suaminya?

“Begini puan..” doktor lelaki itu berjeda sesaat dua. Wardina mengigit bibirnya.

 “Macam mana, doktor? Katakan! Katakanlah! Kenapa diam?!” desak Wardina kasar. Mawar memeluk Wardina. Tidak mahu gadis itu menimbulkan kekecohan di sini.

“Tenang, Ina,” pujuk Mawar, berbisik rapat ke telinga Wardina. Wardina diam. Terkesan juga dengan kata-kata itu. Nafas panjang ditarik.

“Doktor, macam mana? Suami saya baik-baik kan? Katakanlah, doktor. Suami saya baik-baik kan? Tak ada apa-apa yang berlaku, kan?” suara Wardina beransur tenang cuma rasa gusarnya tetap di situ. Doktor lelaki itu hanya memandang keletah Wardina.

Honestly, Puan. Keadaan Encik Ruzain sekarang ni, sebenarnya masih berada di tahap kritikal. Tak silap saya, dari laporan yang kami terima dari.. Pak Lang, bukan?” Pak Lang mengangguk kecil.

“yang suami puan hilang di laut dua hari lepas. Dan saya dapati ada sedikit masalah di saluran pernafasannya yang memaksa kami menggunakan alat bantuan pernafasan. Dan, sekarang dia masih tidak sedarkan diri dan mungkin memakan sedikit masa kerana sekarang suami puan berada dalam keadaan koma..” menggeletar lutut Wardina dibuatnya. Mahu luruh jantung, dan hati. Berita yang cukup memilukan dan berita yang cukup perit untuk diterima. Suaminya koma? Abang..

Wardina jatuh terduduk. Air matanya mengalir laju. Apa ni? Abang.. Terasa dunianya sempit. Terasa dunianya kelam, gelap tanpa cahaya. Biasan cahayanya seakan dibawa pergi.

“Ina..” Mawar turun sambil menggosok bahu Wardina. Ingin menenangkan wanita itu.

“Boleh kami lawat dia, doktor?” Pak Lang mencelah. Doktor tersebut angkat pandangannya dari Wardina sambil bibirnya mengoyak senyuman kecil seraya menggeleng.

“Maaf encik. Buat masa sekarang belum lagi.” Jawabnya berhemah. Mata lelakinya memandang kelibat Wardina sekali lagi. “Sabarlah, puan. Berdoalah pada yang Satu. InsyaAllah, Tuhan akan permudahkan segala urusan kita. Dan ingatlah, mereka masih punya nyawa cuma tidak berdaya sahaja. Mereka masih boleh mendengar namun tidak diberi lagi kesempatan oleh Tuhan untuk berbicara, bergerak dan sebagainya lagi. Jangan bimbang puan, setiap butir percakapan kita dia masih boleh mendengarnya. Maka, puan keraplah membaca ayat-ayat suci Al-Quran padanya. Mungkin itu akan membantu. InsyaAllah.” Pesan doktor tersebut sebelum mengorak langkah.

Wardina tunduk. Bahunya terhinjut-hinjut menahan asakan tangis. Perlahan-lahan, tubuhnya digagahkan untuk berdiri. Tingkap kecil di pintu dijeling. Dapat dia lihat kelibat tubuh Ruzain yang berbaring lemah di atas katil. Air mata Wardina makin laju. Abang..

Abang, dah janji takkan tinggalkan, Ina. Kan, abang? Maka, abang kuatlah. Demi Ina, abang. Tolonglah, abang.. Ina rayu..

NOTA: DENGAN INI BERAKHIRLAH BAB 5! DOAKAN MSS NI AGAR CEPAT DISIAPKAN. KAMI AKAN UPDATE DARI SEMASA KE SEMASA DAN AKAN MEMBERI TEASER. DI GROUP PASTINYA! HIHI.. JUMPA LAGI! INSYAALLAH, TERUSKAN MENYOKONG TRIPLETS..

1 comment:

  1. Bessttt sgt, awk! Makin bestt dan bestt! Tk sbr nak bce yg fulll!! :-D

    ReplyDelete

Hello darl. Thank you for reading & comments our triplets work!