Our Adrenaline..

Saturday 27 September 2014

Lakaran Bahagia Bab 4 (SILENCER)




SEPANJANG mereka makan bersama Mawar, tak habis-habis Wardina menempel. Menempel bukan kerana menggedik dengan suaminya tetapi menempel kepada Mawar. Sengaja Wardina buat begitu. Bila Mawar ingin menyauk lauk, dia akan terlebih dahulu mencelah dengan konon-kononnya ingin membantu. Namun, itu bukanlah niatnya yang sebenar. Jarinya sengaja diangkat tinggi agar mata Mawar nampak akan keberadaan cincin itu di jari manisnya. Ruzain menggeleng sahaja dengan perilaku isterinya.

           “Tak nak makan ke sayang?” soal Ruzain. Nasi lemak disudunya sebelum disuakan pada Wardina. Wardina menyambut senyuman itu mesra. Bibirnya mencoret senyuman kecil.

“Tak apa. Ina tak lapar mana lagi,” balas Wardina ceria. Bila mood baik, beginilah dia.

Bicara Wardina seterusnya tersekat apabila matanya memandang akan adanya sebuah kereta Honda Prelude memasuki ruangan tempat suaminya berkerja. Wardina kerut dahi. Siapa? Lama matanya tertacap pada kereta itu. Tidak lama kemudian, ada sepasang kasut stiletto mencecah bumi tapak jualan mereka. Siapa dia?

“Abang pergi dulu, sayang.” Wardina angguk. Dahinya ditarik merapati tubuh Ruzain. Kucupan kasih berlabuh di situ.

“Jangan ambik masa lama ngat (sangat). Kekgi (Nanti) abang rindu,” Wardina menjengil matanya kepada Ruzain. Tak nampak ke Mawar ada? Dia okey aje nak tunjuk berlagak depan Mawar ni tapi bukan dengan tunjuk kasih sayang bercekerama bagai macam ni. Aduhai. Kalau dah namanya dapat lelaki penyayang macam ni, apa dia boleh buat.

Ruzain kelihatannya sudah berlalu bersama Mawar. Tak habis-habis minah ni nak menggedik dengan laki aku. Huh! Dapat laki tua karang, baru tahu! Apa kaitannya? Entah! Saja nak merapu. Berdoa pun ya, biar tahu rasa minah tu. Akibat lama menunggu, Wardina sudah naik bosan. Bosan tunggu siapa perempuan tu. Nak tak nak aje keluarnya. Lalu, kasut but hitam disarungkannya segera. Dia kena cepat.

Baru setapak dia melangkah..

“Ina!!” Wardina pusing. Terkejut dirinya.

“Maya!!” terus tubuh Maya diterjah Wardina segera. Tubuh rakannya itu dipeluk erat. Maya meleraikan pelukan itu pantas.

“Kenapa tak cakap dengan aku, yang kau dah pindah? Dan.. kenapa tak cakap dengan aku yang kau dah kahwin?!” soal Maya dengan wajah yang begitu ceria. Wardina senyum kecil sahaja.

“Macam mana kau tahu aku ada dekat sini?” tanya Wardina pada Maya. Wajah Maya ditilik. Langsung tak berubah rupanya sejak mereka berteman sejak dari sekolah rendah lagi. Putih dan gebunya seperti biasa sentiasa menjadi godaan buat kaum adam di luar sana. Amboi. Tak bimbang ke kalau dia kebas laki kau nanti? Wardina senyum sinis. Jangan harap. Dia tahu taste Maya macam mana. Dia lebih pentingkan pangkat.

“Syazmin yang bagitahu..” jawab Maya lambat-lambat. Bimbang juga gadis itu naik baran. Wardina senyap sahaja. Peristiwa semalam terukir kembali namun ingatan itu cepat-cepat dihapuskannya segera.

“Aku nampak laki kau tadi. Itu bukan Ruzain ke?” Wardina membulatkan matanya.

“Kau masih ingat dia lagi?”

“Kenapa dengan kau ni? Of courselah aku, ingat. Mamat Penyu! Dia kan, selalu buat masalah dengan kau dulu.” Wardina angguk kecil. Perstiwa sebelum mereka bercinta menggamit kembali. Ruzain yang cukup baran. Setiap kali lelaki itu, berjumpa dengannya pasti mereka akan bertekak. Jenuh juga dia nak kena faham bahasa pekat terengganunya itu pada mulanya.

“Tak payah panggil Mamat Penyu! Aku tak suka! Dia ada nama, okey.” Maya gelak, diikuti Wardina juga.

“Tapi.. laki kau kerja tempat ni ke?” Wardina diam. Kurang senang dengan pertanyaan itu. Tak apa! Tenang Ina. Tenang! Cuba untuk berlaku jujur.

“A’ah. Aku pun kerja dekat sini sekali. Tolong suami aku kadang-kadang.” Penampilan Wardina ditenung Maya atas bawah. Kemeja merah bersama inner t-shirt bulat putih, jeans hitam yang agak lusuh warnanya. Dikenakan pula dengan but hitam. Eeuww! Yucks!

“Kau bahagia tak Ina?” lembut soalan itu diutarakan Maya. Soalan teman sejati. Wardina senyum panjang.

“Aku? Bahagia. Bahagia sangat..” Maya gelak sinis. Tidak percaya.

“Jangan nak tipu akulah, Ina. Kau bukan perempuan jenis yang macam tu.” Wardina angkat jari manisnya. Dihalakan tepat ke arah Maya menyebabkan rakannya itu terdiam seribu bahasa.

“Apa yang kau nak tunjukkan pada aku?” Wardina tarik nafas.

“Ruzain seorang yang sangat penyayang dan sangat ambil beratkan aku. Walaupun kami ditangkap khalwat, dia masih sudi jagakan aku. Aku ingat lepas insiden tu, dia dah buang aku. Tapi, aku silap. Dia masih nak jaga aku. Kalau dari pandangan orang lain, mungkin kami ni pasangan biasa-biasa aje, Maya. Tapi, mereka semua tak akan tahu betapa indahnya kehidupan kami berdua. Dan yang paling penting, malam-malam aku tak pernah bosan. Ruzain sangat romantik!” Maya diam tidak berkutik.

“Cantikkan cincin ni.” Wardina bercakap sendiri. Cincin itu dimainnya. Nampak begitu cantik dan padan di jari manisnya. Maya menjeling ke sisi. Ada sesuatu yang aneh pada pandangannya. Lantas, jari Wardina ditarik lebih rapat ke matanya.

“Eh.. Eh.. Kenapa ni?” celah Wardina spontan. Maya tidak pedulikan bicara itu, cincin itu ditiliknya lagi.

“Tahulah cincin aku cantik, tapi tak payah nak tarik-tarik. Kalau nak tengok aku boleh bagi.” Sambung Wardina dengan hati yang riang.

“Ina..” seru Maya. Wardina pandang wajah itu. Kenapa wajah Maya tidak ceria? Oh! Dia tahu, pasti gadis itu cemburukan dirinya. 

“Kalau apa yang aku cakap ni, kau jangan cepat melenting pulak ya?” Wardina ketawa kecil. Tidak sabar! Apakah ayatnya, ya? Ina, aku cemburukan kau! Atau apa ya? Ina, aku nak kahwin dengan laki kau, untungnya kau! Wardina senyum sendiri. Ee! Cepatlah Maya. Apa dia? Pinta Wardina tidak sabar.

“Ini.. bukan emas sebenar.” bulat mata Wardina. Jarinya ditarik. Wajah Maya dipandang.

“Kau cemburukan aku, kan? Kau jangan nak main-main dengan aku, Maya.” Maya mengeluh kecil.

“Ina.. Buat apa aku nak main-mainkan kau? Apa faedah yang aku dapat? Aku tahulah,  semua ni sebab aku dah biasa sangat beli emas-emas ni. So aku tahu mana yang palsu dan mana yang tak.” Wardina menggeleng. Apa mungkin suaminya sudah menipu dia? Wardina ketap bibir.

“Apa buktinya?!”

“Cuba tanggalkan cincin kau.” Wardina menurut meskipun hatinya memberat. Cincin itu kini beralih pada Maya. Lalu, cincin itu digosokkan ke atas seluar jeans hitam Wardina. Wardina kerut dahi. Rasa panaslah pula pahanya bila kena gosok macam ni. Beberapa saat kemudian, cincin itu disuakan dekat ke muka Wardina. Wardina angkat kening.

“Cuba bau. Kalau emas tiruan, dia akan bau macam bau besi atau bau ikan.” Wardina patuh. Liurnya ditelan. Betul! Bau ikan!

“Eh.. mungkin tekaan kau salah kut, Maya. Sebab memang seluar aku bau ikan. Tengoklah aku ada dekat mana. Mesti bau-bau dia melekat sana sini, kan?” Wardina cuba meyakinkan Maya akan tekaan rakannya itu salah selain untuk menenangkan hati sendiri.

“Mungkin. Tapi cuba kau tengok ni..” lengan baju Maya disinsing ke atas sedikit. Terserlah beberapa gelang emas bergayut di lengan rakannya. Mata Wardina sudah bersinar akibat kilauan itu.

“Cuba kau bandingkan warna emas dua-dua ni, macam mana. Kalau yang tulen dia akan lebih berkilat berbanding yang tiruan. Cuba bandingkan gelang aku dengan cincin kau?” cincin dan gelang Maya dipadankan. “Nampak?” Wardina telan liur. Hatinya sudah jadi ragu-ragu.

“Tak. Tak mungkin.” Maya menghela nafas kecil.

“Emas tulen bersifat lembut, kalau cincin ni betul-betul tulen cuba kau tekan sikit dengan jarum. Kalau dia tak patah tu bermakna cincin tu asli. Ataupun, cuba kau dekatkan cincin ni dengan magnet pulak. Tengok macam mana. Sebabnya emas tulen ni tak bersifat magnetik. Jadi, kalau dia melekat pada magnet bermakna, cincin ni palsu.” Wardina geleng lagi. Dia takut. Takut jika kata-kata Maya benar. Sungguh, dirinya tidak mampu membayangkannya bagaimana.

“Cara terakhirnya.. Yang biasa tauke-tauke buat, cuba kau bakar cincin ni. Bakar cincin ni sampai dia jadi merah. Kalau ada kesan tompok hitam, maknanya cincin ni tiruan.” Wardina diam. Bibir bawah digigit. Hati kini bagaikan sudah punah. Retak seribu.

“Kau tak patut kahwin dengan dia, Ina.” Omel Maya selamba.

“Huh?” Wardina angkat pandangannya.

“Kalau kau ikut kata-kata mama dan papa kau dulu, pasti sekarang kau bahagia. Bahagia di samping Syazmin dan bahagia di samping keluarga kau. Sekarang, cuba kau tengok macam mana keadaan kau? Kau ditipu! Ruzain tipu kau, Ina! Kau hidup sengsara kau tahu tak. I mean, cuba kau tilik tubuh kau atas bawah. Apa benda kemewahan yang kau ada? Dulu.. kau ibarat ratu! Semua yang ada di tubuh kau, semuanya berjenama. Semua orang sanjung kau. Tapi, sekarang.. cuba tengok. Orang buat tak endah aje dengan kau. Orang buat kau tak ubah macam sampah!” berbirat hati Wardina. Telinga sakit dan hatinya juga turut pedih bila mendengarnya.

Ruzain tipu aku?


RUZAIN senyum pandang Wardina. Sehari suntuk dia mencari Wardina di pasar. Namun, hampa. Isterinya itu tiada. Rasanya mahu sahaja dia tinggalkan pasar dan mencari isterinya. Namun, dia cuba untuk berisgtifar dan bertawakkal. Moga-moga si isteri baik-baik sahaja. Dan, bila kaki ini menjejak ke lantai kayu rumah mereka, dia bersyukur. Isterinya nampak elok sahaja. Sedang termenung di meja makan. Kepalanya ditongkat sambil cincin pemberiannya dimainkannya. Ruzain geleng sahaja.

            “Aduh, sayang. Suka sangat ke cincin tu. Sudoh-sudohlah tu.” air mineral diteguk Ruzain. Matanya merenung si isteri. Wardina diam tidak berkutik. Ruzain mendekat. Lantas, bahu si isteri dipeluknya.

“Sayang tahu dok (tak), nanor (nanar) abang cari sayang. Cari jugok ngatenye (jugak merata-rata tempat), tengok-tengok duk sining (alih-alih, duduk sini). Aduh, sayang ni. Wak (buat) orang bimbang sokmo.” Pipi Wardina ingin Ruzain kucup namun Wardina tega melarikan pipinya.

Bakpe (Kenapa) ni, sayang?” Ruzain cuba nasib sekali lagi, namun Wardina melarikan diri. Rimas! Bila dia bangun, tangannya digengam Ruzain.

“Sayang nok gi (nak pergi), mana? Abang baru balik. Layan gok (Layanlah) abang kejap.” Wardina buang pandang.

“Sayang maroh (marah) ke? Nok maroh nape pulok, ning (ni)? Pasal nape (apa)? Mawar?” Wardina jauhkan wajahnya dari Ruzain. Tidak suka bila wajah itu dekat dengannya.

“Abang beli dekat mana cincin ni?” Ruzain jelas terkejut dengan soalan itu. Lelaki itu diam.

“Abang beli dekat kedai emas..”

“Tipu!!” celah Wardina. Ruzain tersentap dengan amarah isterinya itu.

“Kenapa kau tipu aku?! Huh? Kenapa kau tipu aku? Mati-mati aku ingatkan cincin ni, cincin betul! Puas? Huh?! Puas dapat bodohkan aku? Puas dapat gelak sebab aku percaya ni cincin betul? Apa motif kau, Ruzain? Huh?! Apa motif kau kahwin dengan aku? Kau dah malukan aku, kau tahu tak?! Kau malukan aku depan kawan aku. Kau malukan aku depan semua orang. Kau boleh bayangkan tak macam mana tebalnya muka aku bila aku terpacak depan kedai emas tauke tu? Kau tahu dia kata apa? Dia kata cincin ni..” cincin itu lekas-lekas ditanggalkan Wardina. Lalu, cincin itu ditolak ke muka Ruzain. “Palsu! Kau paham tak?! Cincin ni palsu!” turun naik dada Wardina. Matanya bulat dan juga merah menyala akibat menahan amarah yang memuncak di dada.

Ting!!

Cincin itu jatuh mencium lantai. Ruzain tergamam dengan keadaan itu. Matanya tidak pernah lepas dari memandang isterinya. Cincin itu dicapai Ruzain. Langkah kaki mula mendekati si isteri. Dia mencangkung menghadap Wardina. Tangan Wardina dicapainya. Lalu, sebentuk cincin itu diserahkan pada Wardina.

“Harga dok (tak) penting, sayang.. Yang penting kita ikhlas ke dok (atau tidak).” Wardina senyum sinis.

“Betul kata kau. Harga tak penting. Sekarang aku tahu kenapa kau hidup macam ni. Kau tahu kenapa kau tak pernah maju ke depan, Ruzain? Sebab orang macam kau ni memang selayaknya duduk dekat belakang. Pemikiran bodoh! Kalau macam ni gaya kau, sampai matipun kau takkan pernah jadi orang kaya! Orang macam kau.. huh.. memang menyusahkan aku.” Ruzain sungguh terasa dengan kata-kata biadap itu. Tidak dapat dia bayangkan mulut si isteri bisa mengungkapkan ayat berbisa seperti itu.

“Maya betul. Aku memang tak patut kahwin dengan kau. Kahwin dengan kau dulu, adalah satu penghinaan buat aku! Sebabkan kau, hidup aku macam pengemis. Macam merempat! Aku menyesal kahwin dengan kau!”

“Ya Allah! Sayang! Sayang cakap apa ni?”

“Kenapa? Aku cakap benda betul. Kau memang miskin! Atas bawah semuanya miskin. Orang macam kau memang tak layak untuk aku! Lelaki bodoh macam kau takkan pernah boleh bahagiakan orang kaya macam aku! Kau memang tak guna! Kau memang tak guna! Aku bencikan kau! Berambus kau dari sini! Aku kata berambus!!!” tempikan itu makin kuat dan kuat. Ruzain kecewa. Hatinya terluka. Dari mencangkung, diri itu sudah berdiri tegak. Langkahnya longlai menghala ke arah pintu keluar.

“Tunggu!” Ruzain berhenti. Di saat itu, dia benar-benar berharap agar si isteri akan memeluk dirinya dan memohon kemaafan darinya. Namun..

“Ambik cincin buruk kau ni! Aku tak hadap dengan benda alah ni. Kau boleh berambus dengan benda tak guna tu. Bawak dia jauh-jauh. Jangan bawak balik benda tu. Aku benci!” Ruzain ketap bibir. Tubuhnya menunduk sebelum cincin itu dicapainya. Cincin itu ditilik Ruzain seketika. Bila terpandangkan cincin itu hatinya terluka. Teringat kembali kata-kata sinis sang isteri. Terus, langkah kaki dibawa keluar dengan hati yang sarat dengan panahan kata-kata luka.


KETUKAN bertalu-talu di pintu sungguh merimaskan Wardina. Dengan malas dia bangun juga. Serabut dengan ketukan yang tidak pandai senyap itu. Pintu itu dibuka juga. Matanya kuyu pandang keluar. Dahinya berkerut bila pandang Mawar dihadapannya ketika ini.

            Pangg!!

            Wardina jatuh. Dapat dia lihat dengan jelas amarah di mata Mawar. Apa kena dengan minah ni? Datang-datang tampar orang.

“Apa kena dengan kau ni?” Mawar ketap gigi.

“Kau memang perempuan tak sedar diri, Ina! Apa kau dah cakap pada Ruzain?” Wardina tercengang. Lambat-lambat, dia gelak. Gelak sinis.

“Oh.. Ruzain mengadulah ni?”

“Memang! Memang dia mengadu. Dia mengadu pada aku. Sebab dia tak ada orang untuk dia mengadu. Ada isteri macam tak ada isteri.” Wardina ketap bibir. Amarahnya rasa memuncak bila dirinya ditempelak sebegitu rupa.

“Apa masalah kau, huh? Kau sedar tak orang yang tengah kau cakapkan tu siapa?” Mawar angguk.

“Aku sedar. Aku tahu dia suami kau. Tapi aku rasa kau yang tak sedar. Kau tak pernah sedar yang dia suami kau, Ina. Sampainya hati kau kan, buat dia macam tu. Eh, jangankan sebab cincin, kau buat dia macam tu.” Wardina kepal tangannya. Tunggu masa untuk meledak aje.

“Apa? Memang salah jantan tu. Dia yang tak guna! Dia tipu aku!  Kau boleh bayangkan tak macam mana rasanya bila kena tipu? Orang tak guna macam dia, memang patut kena ajar macam tu.”

Pangg!!

Lagi sekali pipi itu ditampar Mawar.

“Kau memang tak tahu diuntung, Ina. Kau boleh cakap macam tu, sebab kau tak tahu deritanya Ruzain. Kalau kau tahu aku rasa kau takkan boleh bayangkan apa yang dia rasa dan apa yang dia alami. Punya kau sebagai bini dia aku rasa macam bala untuk dia. Sejak kau jadi isteri dia, dia hilang semua. Semua kawan-kawan dia pergi jauh sebabnya.. sebabnya dia pertahankan kau. Kau ni.. memang perempuan.. Oh! Aku tak tahu nak kata apa. Cermin diri dulu, Ina.” Wardina buat muka.

“Muka aku dah cukup cantik untuk aku cerminkan.”

“Cantik luaran bukan jaminan cantik untuk dalaman. Kau kena sedar Ina. Tempat kau bukan dekat sini. Aku rasa kalau bukan kerana Ruzain mungkin kau merempat. Mungkin kau yang mintak sedekah. Cincin tu, hadiah yang paling mahal yang pernah dia ada. Kau tak tahu betapa susah dia nak dapatkan duit tu untuk belikannya buat kau. Sudahlah. Tak guna untuk aku cakap banyak dengan orang macam kau. Cuma, Ina.. kau perlu ingat satu. Allah itu adil. Setiap orang pasti akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang dia lakukan. Kau bertuah punya Ruzain. Tapi, aku tak dapat bayangkan bagaimana hidup kau tanpa Ruzain. Sebenarnya, selama ni kau terlalu banyak bergantung pada Ruzain, Ina.” Wardina terdiam dengan kata-kata itu. Terasa? Ya! Dia cukup terasa dengan kata-kata itu. Namun, entah kenapa hatinya tidak melenting namun hatinya tersentuh dengan kata-kata itu.

“Sedarlah Ina. Selama ni, Allah selalu buka peluang untuk kau. Dah banyak ruang bahagia yang Allah berikan untuk kau. Tapi, satu pun aku tengok kau tak pernah nak hargai. Jangan datang jumpa aku kalau suatu hari nanti, Ruzain pergi dari hidup kau. Masa tu, mungkin kau boleh nampak di mana tempat kau. Masih bersenang lenangkah atau kau jadi pengemis. Ruzain silap. Silap kerana pernah mengemis cinta kau. Mungkin katanya betul, dia bahagia.. tapi, apa yang aku nampak dia bahagia atas derita dia sendiri. Aku balik dulu. Pandang muka kau  buat aku rasa muak. Pandang muka kau buat aku rasa nak tanam kau hidup-hidup.” Langkah kaki yang menghala keluar dari kawasan rumah Wardina terhenti tiba-tiba. Mawar tarik nafas panjang.

“Aku harap.. esok.. kau akan tunggu dia bila dia balik dari laut. Macam yang kau pernah buat dulu.. masa kau baru kahwin dengan dia. Aku rindukan senyuman bahagia Ruzain waktu tu, Ina. Tapi, kalau kau memang tak tertahan hidup dengan Ruzain, mintaklah perpisahan secara elok. Sebab aku tak sanggup lagi tengok dia menangis kerana kau.” Wardina tergamam. Tanpa sedar ada air jernih meleleh di pipi. Ruzain menangis kerana dia? Pantas, kepala didongak memandang langit. Ada pancaran putih menyinar di situ. Bumi ini pula seakan mula terasa gegarannya akibat dari guruh itu. Lutut Wardina seakan lemah.

“Kenapa.. dia ke laut? Dia pergi dengan siapa?” soal Wardina. Suaranya kedengaran agak cemas.

“Dia sendiri. Katanya, dia nak tenangkan fikiran. Kau bimbang? Aku pun sama. Aku dah cuba tegah dia. Tapi dia tetap nak pergi. Sebab tu, Ina.. berdoalah semoga dia selamat. Kalau kau sedar, hidup kau sekarang sedang berada di tengah garisan. Garisan derita dan bahagia. Aku harap kali ni, kau sedar.” Mawar menyambung langkahnya yang tergendala tadi. Sambungan langkah itu mengakhiri rasa kuatnya. Air mata itu jatuh. Selamatkan sahabatnya? Mawar menggeleng. Tak! Ruzain akan selamat.


Sementara itu, Wardina jadi tidak tenang. Air mata itu belum menampakkan surutnya. Dia masih berdiri tegak di luar sambil memandang luar sana. Langit seakan hitam. Bintang pula tidak kelihatan. Abang.. Bila terpacul ayat itu, hati Wardina disapa gegaran. Entah kenapa terimbas kembali kata-katanya pada sang suami. Allah! Apa aku dah buat?

NOTA: HANYA TINGGAL SATU CHAPTER LAGI. SEDIHNYA RASA HATI. TAPI TAK APA. INSYAALLAH SAYA AKAN BAGI TEASER. TAPI DALAM GROUP FBLAH. SO, SIAPA2 YANG BELUM MASUK SILALAH BERBUAT DMIKIAN YE. HIHI.. DOAKAN SUPAYA MSS NI DAPAT DISIAPKAN SEGERA. AMIN.. 

DAN JANGAN LUPA! KOMEN TAU!

No comments:

Post a Comment

Hello darl. Thank you for reading & comments our triplets work!